Sunday, March 27, 2011

jangan marah (hadith 40:16)

kenapa orang selalu mahu cari pasal? bukankah senang jika kita biarkan sahaja sesuatu perkara itu berlalu? perlukah kita menjawab semua perkara dengan orang lain supaya hati kita menjadi lebih puas? tidak sebenarnya. sedarlah sifat ingin puaskan nafsu itu bukan sifat dari Allah. terutamanya bila kita dalam keadaan marah. ini terutamanya pesanan untuk diri aku sendiri.

aku kecewa dengan diri sendiri tempoh hari kerana aku telah kalah dengan nafsu marah. sekian lama aku pupuk supaya ia tunduk, akhirnya aku gagal mengawal diri dan melepaskan kemarahan. setelah marah aku sangat kecewa. teringat pesanan Rasul Allah, "jangan marah" (Hadith 40:16). kali ini aku kalah. auzubillahiminasyaitonirajim. dalam jalan mendekati Allah kita tidak boleh ada sifat marah ini. sesungguhnya, bila dalam keadaan marah pastinya syaitan akan menambahkan lagi petrol kedalam api kemarahan kita supaya ia lebih membara. beberapa hari aku duduk muhasabah diri, terkenang kesilapan, malu dengan Allah. alhamdulillah, hati aku kembali tenang. aku mahu lebih diam seperti dulu dan berbicara bila perlu sahaja, teringat kata ustaz, "lebih baik diam dari berkata yang sia-sia". Rasulullah saw banyak memesan dalam hadithnya mengenai ini dan salah satunya ialah:

“Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya”.

(Riwayat Abu Naim)

semoga itu kali terakhir aku akan marah dan lebih bersabar pada masa akan datang. insya Allah.

cara elak kemarahan berterusan:

1. ambil wuduk
2. baca al-quran
3. beristigfar
4. zikir
5. doa supaya tenang hati

semoga mendapat manfaat.

wallahua'lam.

anak soleh

Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa

Sunday, March 20, 2011

Rukun-rukun dakwah

1. Tajuk dakwah (Maudu’ adda’wah)
2. Pendakwah (Adda’ie)
3. Orang yang di dakwah (Almad’u)
4. Cara dakwah (Uslubudda’wah)

Apa yang di maksud dengan dakwah ialah dakwah kerana Allah. Maksud dakwah kerana Allah itu ialah dakwah kepada agamaNya iaitu Islam. (Susungguhnya agama di sisi Allah (diterimaNya) ialah Islam) yang mana nabi Muhammad saw membawa agama ini daripada Allah swt. Maka Islam ialah Tajuk dakwah (Maudu’ adda’wah) dan hakikatnya atau pon kebenarannya. Dan ini ialah rukun (usul) pertama dalam dakwah. Sesungguhnya Rasulullah saw yang mulia ini menyampaikan agama Islam yang bersifat agung dengan sebaik-baik penyampaiannya, menyempurnakannya dan berterusan menyeru kerana Allah sejak Allah memuliakannya dengan mengutuskan Muhammad sebagai rasulNya, sehingga baginda berpindah di sisiNya, yakni wafat. Dan demikianlah Allah mengutuskannya seraya berfirman yang bermaksud: “wahai nabi (Muhammad) sesunguhnya kami mengutuskan kamu sebagai pengsaksi, pembawa berita gembira dan orang yang member peringatan dan menjadi pendakwah kerana Allah dengan izinNya". Oleh itu, Rasulullah saw ialah pendakwah pertama yang menyeru kepada Islam. Maka pendakwah (Adda’ie) adalah rukun yang kedua bagi dakwah.

Golongan yang didakwah atau pon diseru kepada kebaikan oleh Rasulullah saw kepada Islam yang menyampaikan risalah baginda kepada mereka ialah orang-orang arab dan orang lain kerana risalahnya itu ialah umum kepada semua manusia tanpa menghadkan keatas orang arab sahaja sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak kami utuskan kamu wahai Muhammad, kecuali sebagai orang yang membawa khabar gembira dan pemberi peringatan kepada semua manusia”. Maka orang yang diseru kepada Islam, orang yang di dakwah (Almad’u), ialah rukun yang ketiga bagi dakwah tersebut.

Sesungguhnya Rasulullah berdiri dengan dakwah itu kepada Islam dengan menggunakan medium-medium, cara-cara dan kaedah-kaedah yang tertentu yang mana Allah mewahyukan cara-cara itu kepada baginda tepat didalam Al-Quran dan sunnah nabi yang mulia. Dan cara-cara yang digunakan baginda untuk berkomunikasi dengan orang arab itu. ie. cara dakwah (Uslubudda’wah) ialah rukun yang keempat bagi dakwah.

Sebagaimana yang kita tahu setiap muslim wajib berdakwah kepada ajaran Islam kerana dakwah itu ialah fardu ain yang diwajibkan oleh setiap muslim, lebih-lebih lagi kita hidup sebagai umat nabi Muhammad saw, umat yang terpilih sememangnya perlu menjalankan dakwah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar. Sebagaimana yang telah diterangkan didalam kitab Ibnu Taimiah yang bertajuk Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar yang menerangkan firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung (berjaya).”

Surah Ali-Imran, Ayat 104.

Dan;

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman tentulah itu yang lebih baik bagi mereka diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Surah Ali-Imran, Ayat 110.

Berdasarkan dua dahlil kuat ini, menunjukkan kepada kita bahawa dakwah ini amatlah penting yang menjadi tuntutan ummah untuk melahirkan generasi- generasi Islam yang mapan aqidah mereka menjalankan dakwah seharian untuk menjadi insan yang bertakwa kepada Allah (Rabuljalil).

Walaubagaimanapon harus diingat bahawa, seorang pendakwah tidak boleh menjalankan ibadah dakwah itu, tanpa mengetahui asas-asas dakwah tersebut atau tidak cukup ilmu agamanya menyebabkan sebahagian umat Islam yang lain tidak boleh menerima hasil dakwah dan teguran mereka. Hal ini demikian kerana para pendakwah pada era globalisasi ini tidak mempunyai asas yang kukuh serta bukti yang nyata untuk menyampaikan risalah yang telah diamanahkan oleh baginda saw kita. Malahan mereka suka berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam yang suci ini supaya orang lain mengikuti ajaran tersebut tetapi mereka sendiri tidak mengamalkannya. Sifat ini tidak disukai oleh Rasulullah dan telah ditegur oleh Allah sebagaimana firmannya:

“Wahai orang-orang beriman, kenapa kamu berkata sedangkan kamu tidak buat”

Sebab itu lah terdapat sebahagian pendakwah atau ulamak yang selalu menyebut didalam ceramah atau pon dakwahnya “dan saya berpesan kepada semua orang Islam dan juga diri saya sendiri”, ini lah yang dipanggil tazkirah iaitu memberi peringatan kepada orang lain dan juga diri kita sendiri supaya tidak lupa dan alpa akan tujuan dan matlamat kita sebagai seorang pendakwah yang tidak terlepas juga dalam melaksanakan apa yang disampaikan.

Firman Allah swt:

“…dan berilah peringatan, sesungguhnya memberi peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mukmin”

Kesimpulannya, dakwah itu adalah suatu kewajipan bagi setiap muslim dan seharusnya mengingatkan diri sendiri bahawa dakwah yang disampaikan adalah untuk semua orang dan tidak terlepas kepada diri sendiri juga.

wallahua'lam.

Sumber:
1. Dr. Abdul Karim Zaidan. “Usulubudakwah”, Muka surat 5.
2. Ibnu Taimiah. “Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar”.
3. Tafsir Al-Quran

Saturday, March 19, 2011

attendance sheet

jam tepat pukul 1.09pm. dengan hati yang resah sebab takut tak sempat ke masjid untuk solat jumaat aku berkeliaran mencari taxi. subang adalah suatu kawasan yang amat terkenal dengan kesesakan lalu lintas, tidak terlepas dari 'jam' yang kita selalu elakkan. keluar sahaja dari ofis client, aku ternampak sebuah taxi sedang menunggu di kawasan terminal bas. banyak lagi taxi lain di situ tapi entah kenapa aku rasa mahu naiki taxi itu.

"uncle, hantar masjid sana boleh?" tanya aku sambil menundukkan kepala separas tingkap taxi.

"sana sangat jam woh.." uncle seperti ada sedikit teragak seolah tidak mahu kesana.

"hm..agak jam la, pakai meter ke macam mana, berapa u charge? aku cepat mencelah.

"pakai meter pon boleh, tapi kalu jam ah, tambah lagi seringgit saja la" sambil menekan butang meternya.

aku terus membuka pintu lalu duduk di bahagian depan.

"apa-apa pon kena semayang oh, pompuan tak ikut ka?" uncle menujukan soalan.

"mesti uncle, arini laki sahaja pergi masjid, pompuan tak wajib harini, hari-hari lain dibenarkan". terang aku panjang lebar.

"oh, itu macam ka?"

aku mengiakan uncle sambil tersenyum lebar padanya.

dalam hati sebenarnya, aku tengah memikirkan orang lelaki yang tengah sibuk memuaskan nafsu makan. tidak sekali mengejar pahala datang awal ke masjid. atau untuk datang mendengar tazkirah yang sedikit sebanyak menambahkan lagi ilmu dihati yang sememangnya sudah berkarat kerana tidak menjaganya dengan baik .

malaikat sebenarnya mencatat pahala bagi orang yang datang awal pada hari jumaat. terutamanya pada yang datang mendengarkan tazkirah. malaikat akan terus mencatat pahala kita dan akan berhenti mencatat apabila imam mula membaca khutbah. bila imam mula membaca khutbahnya, malaikat menyimpan buku catatannya lalu duduk sekali dengan makmum mendengar khutbah yang disampaikan imam. betapa ruginya bagi mereka yang datang lepas bermulanya khutbah imam. sungguh senang Allah ingin memberi kebaikan kepada makhlukNya. tetapi terpulang kepada individu yang menghiraukanya atau pon tidak.

wallahua'lam.

Thursday, March 17, 2011

approval for comments

to all my blogger friends, i have moderated my comments, meaningly any comments will be viewed privately by me before approval (publish or reject). no hard feelings so i hoped.

right now too busy with work, i'll see you when i see you.

have a nice day everyone..:)

Saturday, March 12, 2011

zina hati dan lain-lainnya

Tajuk zina ini sebenarnya amat terkenal dan sering diperdebatkan didalam blog, atau pon media masa, atau pon oleh ustaz dan ustazah, dan seharusnya perkara zina amatlah perlu kita fahaminya secara betol kerana jika disalah faham dengan ertinya mungkin timbulnya kebingungan didalam hati terhadap isu tertentu didalam kehidupan harian. Setelah membaca beberapa artikal dari penulis-penulis dan setelah memahami maksud zina ini, ingin saya berkongsi dengan pembaca yang secara tidak sengaja atau pon sengaja yang berkungjung ke blog saya yang tidak seberapa ini. Tajuk ini amatlah berat sebenarnya untuk diterangkan secara lanjut dan sesungguhnya saya bukanlah orang yang begitu arif dalam ilmu ini. Jika sesiapa mempunyai sebarang keraguan, sila dan boleh rujuk dengan ustaz atau ustazah untuk mendapat kepastian dengan lebih jelas.

Saya sebenarnya ingin menulis mengenai zina hati kerana terbaca ungkapan yang diluahkan seorang sahabat. Maka ingin saya dengan peluang ini membincangkan apa yang saya telah pon baca dari artikal-artikal yang ditulis penulis yang hebat-hebat belaka.

Dari penyelidikan yang saya telah pon dapati ada beberapa hadith nabi saw yang telah saya jumpai, mungkin ada banyak lagi sebenarnya tapi saya ingin berkongsi yang ini sahaja dengan pembaca.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah saw:

“Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.”


(Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah).

“Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua telinga zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.”

(HR Bukhari).

“Zinanya mata adalah melihat (sesuatu), zinanya lisan adalah mengucapkan (sesuatu), zinanya hati adalah mengharap dan menginginkan (sesuatu), sedangkan alat kelamin membenarkan atau mendustakan itu (semua).”

(HR Bukhari & Muslim)

Zina mata

Ramai yang terkeliru bahawa melihat non-muhrim itu adalah zina mata, tapi yang sebenarnya tidak selalu merupakan zina mata. Yang tergolong “zina mata” (berzina dengan mata) adalah melihat dengan syahwat. Contohnya: melihat gambar lucah atau menonton video lucah, mengintip seorang perempuan mandi, dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Zina lisan

Menyampaikan kata-kata mesra kepada kekasih bukanlah tergolong “zina lisan”. Yang tergolong “zina lisan” adalah yang disertai dengan nafsu berahi. Contohnya: ucapan kotor atau tidak baik kepada kekasih, seperti “Abang teringin sangat nak cium sayang, sekali je bibir ke bibir.”

Zina hati

Merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia bukanlah tergolong “zina hati”. Pengertian “zina hati” (berzina dalam hati) adalah mengharap dan menginginkan pemenuhan nafsu berahi atau “mengharapkan kesempatan untuk berzina” atau “memelihara hasrat untuk berzina”. Contohnya: berfikiran kotor atau tidak baik, seperti “Kalau aku bawak awek aku tidor kat hotel, rasa-rasanya dia akan "tidor" satu malam dengan aku ni.”

Demikian pula untuk "zina tangan", "zina kaki", dan berbagai aktiviti-aktiviti mendekati-zina lainnya.

Bagaimana pula dengan ungkapan "Dan semuanya dibenarkan atau ditidakkan oleh alat kelamin"? Apakah yang dimaksudkan dari segi maknanya? Ungkapan ini ialah merupakan pengertian zina yang sesungguhnya, itu menunjukkan penjelasan terhadap "sesuatu" pada ungkapan-ungkapan sebelumnya.

Oleh demikian, "sesuatu" yang hendaknya kita hindari itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin. Inilah yang dimaksud dengan "sedangkan alat kelamin membenarkan atau mendustakan itu (semua)".

Seperti yang saya telah sebutkan diatas, saya sebenarnya ingin menyentuh mengenai zina hati tetapi saya merasakan ada baiknya saya menyentuh semua zina yang kita sering keliru itu. Mengenai zina hati ini, lebih baik lah kita mengetahui dulu fitrah manusia yang dibenarkan oleh Islam. Jika kita mempunyai perasaan minat atau suka atau sering teringat kepada seseorang, itu bukanlah termasuk zina hati. Ianya termasuk dalam fitrah manusia yang mana amat dihormati oleh Islam dan halal jika tidak secara berlebihan (contohnya tidak makan, tidak minum, sampai meninggalkan solat, termenung tidak tentu pasal, dan lain-lain lagi). Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menjaga wara’nya ataupun amat takut dengan taqwanya akan rosak, lalu eloklah dijauhkan. Ini kerana, walaupun perasaan itu tidak haram ianya boleh merosakkan kesempurnaan ibadah seseorang dan kesucian hati. Tetapi, sekali lagi diingatkan, ianya halal selagi tidak memudharatkan diri.

Itulah serba sedikit mengenai zina yang kita selalu dengar dan baca tetapi sesetengah pihak tidak begitu faham dengan maksudnya yang sebenarnya. Maka marilah kita belajar lagi mengenai ilmu tertentu supaya kita tidak kebingungan bila kita melaluinya pada masa akan datang. Ini juga pesanan kepada diri saya sendiri kerana sesungguhnya saya bukanlah orang yang wara’ atau arif dalam ilmu agama, hanya sekadar berkongsi selepas membaca dari artikal-artikal atau pon kitab-kitab arab yang telah pon diterjemahkan ke dalam bahasa yang boleh saya fahami. Semoga sesiapa yang membaca post saya kali ini akan mendapat manfaat insya Allah.

Wallahua’lam.

Monday, March 7, 2011

destinasi cinta

menyingkap tirai hati
mengintai keampunan
di halaman subur rahmat-Mu, Tuhan
tiap jejak nan bertapak
debu kejahilan
akan ku jirus dengan madu keimanan

tak ternilai airmata dengan permata
yang bisa memadamkan api neraka
andai benar mengalir dari nasuha nurani
tak kan berpaling pada palsu duniawi

destinasi cinta yang ku cari
sebenarnya terlalu hampir
hanya kabur kerana dosa di dalam hati
telah ku redah daerah cinta
yang lahir dari wadah yang alpa
tiada tenang ku temui
hanya kecewa menyelubungi

gelintar segenap maya
dambakan sebutir hakikat
untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu

namun ranjaunya tidak akan sunyi
selagi denyut nadi belum berhenti
durjana syaitan kan cuba menodai
segumpal darah bernama hati

lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku
leraikan aku dari pautan nafsu
biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu
namun masihku mengharap ampunan-Mu
wahai Tuhanku. ya Allah.

Sunday, March 6, 2011

sabar

duduk aku bersila, kedengaran bunyi kipas kiri dan kanan, kepala hanyut dibuai angan-angan kosong. matahari terik diluar sana, sampai bahang yang masuk tak mampu kipas dan air-con menepis kehangatanya. bertafakur aku sendirian menanti suara puji pujian.

sedap sungguh bilal melaungkan azan, memanggil-manggil umat menunaikan kewajipan, seperti biasa hati aku kosong, tapi penuh dengan persoalan. dalam hati kecil ku, ada sesuatu yang tidak menentu, aku cuba mencari jawapan tapi gagal. hatiku terus berdenyut kencang seolah sesuatu sudah pon berlaku, fikiranku terus berlegar mencari jawapan apakah perasaan ini yang datang secara tiba-tiba.

imam membaca khutbah dengan khusyuk sekali, dengan teliti aku mendengarnya, perkataan demi perkataan. hati aku tiba-tiba sebak mendengar nama Allah yang disebut-sebut imam. bersungguh-sungguh aku menahan supaya tidak mengeluarkan air mata. hati aku semakin sensitive agaknya.

penat seperti biasa pulang bekerja, aku hinggap di kedai makan kegemaran mencari sesuap nasi yang dari pagi aku terfikir-fikir sebab tidak sempat langsung untuk makan kerana aku sibuk menunaikan tanggungjawab, alhamdulillah Allah membantu menyiapkan kerja aku pada masa yang ditetapkan.

malam itu aku mendapat berita, perasaan aku bercampur aduk.

'oh, patutla berdebar semacam je tengahari tadi', aku terfikir.

bingung, sedih, kecewa, tapi hati aku redha. terus aku memujuk-mujuk hati aku untuk bersabar, alhamdulillah sahaja mampu aku ucapkan. alhamdulillah.

--------------------------------------------------------

kita sebagai umat muhammad saw kena sentiasa bersabar kerana Allah. sesungguhnya sabar itu akan mendatangkan faedah kepada kita juga kerana Allah sudah berjanji untuk menolong orang-orang yang sabar.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Baqarah ayat 153.

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

dan juga dalam surah Al-i 'Imraan ayat 200.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)".

banyak lagi mengenai sabar yang Allah telah sebutkan di dalam Al-Quran, maka kesabaran adalah dituntut oleh Allah untuk makhluknya.

sebenarnya sabar termasuk akhlak yang paling utama yang banyak mendapat perhatian Al-Quran dalam surat-suratnya.

Imam al-Ghazali berkata,
“Allah swt menyebutkan sabar di dalam al-Qur’an lebih dari 70 tempat.”


Ibnul Qoyyim pula mengutip perkataan Imam Ahmad:
“Sabar di dalam al-Qur’an terdapat di sekitar 90 tempat.”


Abu Thalib al-Makky mengutip sebagian perkataan sebagian ulama:
“Adakah yang lebih utama daripada sabar, Allah telah menyebutkannya di dalam kitab-Nya lebih dari 90 tempat. Kami tidak mengetahui sesuatu yang disebutkan Allah sebanyak ini kecuali sabar.”


maka bersabar lah dalam apa jua keadaan, kerana sesungguhnya kesabaran itu akan datangnya kebaikan kepada orang yang mempunyai sabar. ini pesanan untuk diri sendiri sebenarnya dan sesiapa yang sudi membaca.

wallahua'lam.