Thursday, February 17, 2011

Berusaha, berdoa dan bertawakal

Kita manusia adalah alat. Alat yang Allah s.w.t gunakan untuk menyampaikan suruhanNya. Kita tidak mampu mengelak kenyataan ini, kerana ini lumrah kehidupan, takdir bagi setiap yang bergelar khalifah dimuka bumi. Kita hidup hanya untuk beribadah kepada Allah seperti firmanNya dalam surah Adz-Dzaariyat, ayat 52.

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia selain supaya mereka itu berta'abbud (mengerjakan ibadah) kepadaKu"

Dan dengan beribadah sahaja akan mendekatkan kita kepada Allah s.w.t, tiada lagi jawapan yang mungkin dapat mengalahkan ayat-ayat Allah itu.

Dalam melakukan ibadah, Allah tidak pula menyuruh manusia lupa akan mencari rezeki, kerana manusia perlu hidup selesa dalam menjalani ibadah yang ditetapkan. Allah berfirman dalam surah Adz-Dzaariyat, ayat 57 dan 58:

"Susungguhnya Allah, Dia adalah pemberi rezeki mempunyai kekuatan yang teguh (luar biasa)"

Dengan ayat-ayat ini kita perlu sedar bahawa Allah tidak meminta kepada kita sesuatu seperti kita perlukan di dalam kehidupan harian kita, tetapi Allah menjadikan kita manusia dengan hikmah supaya kita berterima kasih kepadaNya dengan jalan beribadah, tegasnya mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Sebagai hamba Allah kita perlu berdoa memohon kepadaNya, kerana kita sebagai makhluk ciptaanNya, kita tidak boleh melepaskan diri daripadaNya. Walau apa keadaan sekali pon kita harus terus berdoa memohon kepada Allah untuk mengelak diri kita daripada bergelar sebagai manusia yang sombong kepada nikmat-nikmat Allah di dunia ini. Allah berfirman dalam surah Al-Mukmin, ayat 60:

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kepadaKu, nanti Ku perkenankan (permintaan kamu itu). Susungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, akan masuk neraka jahannam dengan kehinaan"

Ternyata dengan ayat ini, kita harus berdoa kepada Allah s.w.t dan Allah akan memperkenankan doa kita. Di dalam soal memohon ini, Allah sahaja yang dapat menentukan apa yang terbaik. Tidak semestinya doa kita seperti yang kita mahukan diperkenankan terus kerana hanya Allah sahaja yang tahu apa adalah yang terbaik untuk diri kita. Ini rahsia Allah s.w.t. Allah sahaja yang berhak dan berkuasa memperkenankan doa kita pada waktu yang kita kehendaki, kerana kita tidak tahu apakah doa kita itu adalah baik atau pon buruk di sisi Allah s.w.t.

Dalam menjalani kehidupan yang fana ini kita haruslah menanamkan sifat sabar yang begitu kental dalam diri kita supaya kita tidak senang rebah apabila mendapat sesuatu dugaan dari Allah. Susungguhnya semua perkara itu datang dariNya, kita tidak dapat mengelak dari sesuatu itu berlaku. Allah s.w.t sentiasa bersama kita walau dimana jua kita berada, kita haruslah sedar akan hal ini dan haruslah kita berkelakuan seperti mana Allah bersama kita sentiasa. Kita berjalan bersama Allah, bernafas bersama Allah, makan bersama Allah dan lain-lainnya yang berkaitan. Dengan berfikiran sedemikian, kita akan sentiasa sedar akan kewujudan Allah yang sentiasa bersama kita, dan secara automatik kita akan bersifat rendah diri kerana semuanya bukan kehendak kita belaka tetapi kerana redha Allah yang inginkan kita begitu.

Berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t, itu sahaja yang kita mampu lakukan untuk mendapat keredhaanNya di dunia dan di akhirat.

wallahua'lam.